Kajang, 9 Jun 2023 – Seramai 109 peserta, yang terdiri dari pelajar lepasan SPM, telah menyertai program GEAR Up! (Get Ready for University Programme) 2023 di German-Malaysian Institute (GMI) pada 2 hingga 4 Jun 2023, di mana program tersebut dapat membantu mempersiapkan mereka untuk menempuh alam di universiti atau kolej.
Program GEAR Up! 2023 ini merupakan satu inisiatif pihak MARA untuk melahirkan lebih ramai graduan atau pelajar yang cemerlang serta memiliki ciri-ciri ketrampilan dan keperibadian diri di kalangan pelajar B40. Di samping itu, program ini dapat meningkatkan nilai kepimpinan dan keyakinan diri serta kemahiran berkomunikasi pelajar sebagai ‘global player’ untuk bersaing dengan pelajar lain.
Dalam pada itu, diterapkan juga kesedaran mengenai kepentingan Bahasa Inggeris sebagai persediaan memasuki alam universiti bagi melahirkan masyarakat yang dapat berkomunikasi dengan masyarakat antarabangsa kelak.
Program GEAR Up! 2023 ini telah diadakan bermula dari bulan Mac 2023 lagi dan pihak MARA telah berkolaborasi dengan 13 buah universiti dalam penganjuran program ini, dan kali ini GMI telah dipilih sebagai salah satu lokasi dalam menganjurkan program tersebut bagi pelajar-pelajar lepasan SPM yang datang daripada sekolah-sekolah di sekitar negeri Kedah.
Satu majlis penutup Gear Up! 2023 telah diadakan di Auditorium GMI pada 04 Jun 2023. Antara yang hadir di majlis penutup adalah Timbalan Pengarah Urusan (Khidmat Korporat) GMI, Ts. Fahrul Rizal A.Halim; Timbalan Pengarah Urusan (Akademik & Operasi), Ts. Dr. Muhamad Farid Daud; Timbalan Pengarah (Pembangunan) Pejabat MARA Negeri Kedah Encik Kamarul Zaman bin Mohamad dan Timbalan Pengarah (Pembangunan) MARA Negeri Selangor, Encik Mohd Khaizan Dahlan.
Kami di GMI berharap agar inisiatif ini dapat diteruskan bagi mempersiapkan dan membentuk lebih banyak lagi lepasan SPM agar lebih bersedia mengharungi cabaran-cabaran di alam universiti mereka. Pihak GMI ingin merakamkan ributan terima kasih kepada pihak MARA terutamanya Bahagian Penganjuran Pelajaran dan Pejabat MARA Negeri di atas peluang yang telah diberi kepada GMI berkongsi kepakaran.
