Sepang, 16 Mac 2023 – Seramai 30 pelajar cemerlang lepasan diploma GMI telah berlepas ke Jerman untuk melanjutkan pengajian ke Pusat Bahasa Jerman dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dua kumpulan yang terdiri daripada 20 dan 9 orang pelajar telah berlepas pada 31 Januari 2023 yang lalu dan yang terbaru pada 15 Mac 2023.
Kumpulan pelajar ini telah berjaya melanjutkan pelajaran di Jerman dengan tajaan MARA di bawah skim ‘IPMA Excellent Students Programme’ (IESP) yang mana pihak MARA menaja pelajar cemerlang lepasan diploma dari Institusi Pendidikan MARA untuk melanjutkan pengajian ke universiti terpilih luar negara.
Prof. Ir. Dr. Azmi Bin Hassan, Pengarah Urusan GMI bersama barisan pengurusan tertinggi GMI bersama-sama wakil pegawai dari Bahagian Penganjuran MARA, Encik Nor Azmi Hashaim turut hadir untuk memberi kata-kata semangat dan motivasi dalam menjalani kehidupan yang baru di luar negara nanti. Selain itu, ibu bapa, ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai tidak ketinggalan untuk meraikan pelepasan para pelajar ini.
Menurut Ts Dr Rohaya Binti Kamaluddin yang juga merupakan penyelaras bagi program IESP-Jerman ini, projek ini telah diusahakan sejak bulan Julai 2022 di mana matlamat program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar cemerlang lepasan diploma GMI daripada jurusan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di universiti di Jerman.
Salah seorang pelajar cemerlang, Nurul Syafiqah Najwa Binti Mohd Niza, telah berjaya membuktikan walaupun berlatarbelakang keluarga dari kumpulan B40, berkat usaha gigih dan doa berterusan dari insan-insan tersayang, beliau telah berjaya memenuhi impian untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Najwa juga pernah menerima bantuan dari Yayasan Pendidikan MARA di peringkat menengah semasa beliau bersekolah di MRSM Lenggong, Perak.
Melalui laluan Program IESP-Jerman ini, pelajar terpilih akan mengikuti program insentif Bahasa Jerman selama setahun di Pusat Bahasa Jerman sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di universiti terpilih di sana.
GMI mengucapkan selamat maju jaya dan semoga para pelajar kami memperoleh kejayaan yang cemerlang dan membanggakan agama, keluarga, bangsa dan negara.