Telah berlangsung program Bubur Lambuk Perdana dan Majlis Iftar Perdana 2024 yang telah diadakan di Surau An-Najah GMI, hasil anjuran bersama Badan Kebajikan Islam (BKI) GMI dan Surau An-Najah GMI pada 27 Mac 2024.
Terima kasih diucapkan kepada Pasukan Pengurusan Kanan MARA Tuan Hj Razlan, En Yahya Sani, En Halmishahril, En Fadzil, dan En Bernhard Schutte dari Penasihat Pengurusan Tapio Jerman kerana telah meluangkan masa bersama kami bagi memeriahkan lagi program bubur lambuk ini dan secara tidak langsung program ini akan menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan bagi seluruh warga GMI.





Sempena Bulan Ramadan yang mulia ini, German-Malaysian Institute tidak melepaskan peluang untuk berkongsi rezeki disekitar kawasan Bangi dan Kajang.
Hasil daripada program bubur lambuk yang telah diadakan pada awal pagi 27 Mac 2024 telah diagihkan kepada beberapa tempat. Antara tempat-tempat yang sempat dilawati adalah, Rumah Bakti Nur Ain, Pusat Jagaan Kanak-kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Hulu Langat, Universiti Kuala Lumpur – Malaysia France Institute (UniKL MFI) dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi.
Sumbangan telah disampaikan oleh Pendaftar GMI, Pn. Aini binti Arshad, Eksekutif Unit Gaya Hidup dan Pembangunan Pelajar, En. Muhammad Aziem Heiqal Bin Razak serta diiringi oleh Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Saudara Haziq Naqiuddin Hussan bin Mohd Syukri.
Majlis iftar telah menerima sambutan yang meriah dan positif dalam kalangan kakitangan dan pelajar GMI.
Selepas santapan iftar, agihan Duit Raya telah di laksanakan oleh Tn Hj Ahmad Solihin Mohamed Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif GMI selaku penaung Surau An-Najah dan Badan Kebajikan Islam (BKI) GMI.
Sempena Hari Nuzul Quran yang akan diraikan, para jemaah Surau An-Najah juga diberi tazkirah berkaitan fadilat Al-Quran kepada umat Islam selepas solat tarawih. Bahkan, bubur lambuk yang selesai dimasak pada pagi ini juga turut menjadi santapan moreh pada malam ini. Suasana kehangatan dan kebersamaan sememangnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Terima kasih kepada semua yang telah menyertai program Bubur Lambuk Perdana dan Majlis Iftar Perdana pada tahun ini.